Dato' Kamarudin bin Meranun merupakan satu
nama besar dalam bidang perniagaan dan keusahawanan di Malaysia malah di
peringkat antarabangsa. Sebelum ini kita hanya mengenali Datuk Seri Anthony
Fernandes apabila dikaitkan dengan kejayaan Air Asia. Satu bintang besar yang
berdiri teguh dibelakang kejayaan luar biasa Air Asia adalah Dato' Kamarudin
bin Meranun.
Dato'
Kamarudin bin Meranun dilahirkan di Jalan Raja Mahmud, Kampung Baru. Beliau
menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Jalan Gurney. Di atas kejayaan yang
cemerlang pada peringkat sekolah rendah, beliau ditawarkan ke Maktab Rendah
Sains MARA, Kuantan Pahang. Selepas menamatkan persekolahan peringkat menengah,
beliau meneruskan perjuangan dalam bidang Aktuari di Institut Teknologi MARA
(ITM) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau
berjaya menggenggam Diploma dalam Sains
Aktuari dengan jayanya. Beliau terus mengembangkan ilmu pengetahuan dengan
menerima Bachelor of Science in Finance pada tahun 1986. Kemuncaknya dalam
pencarian ilmu, beliau telah terbang ke Amerika untuk mendapat Master in
Business Administration dari Central Michigan University pada tahun 1987.
Inilah usaha gigih yang dilakukan oleh beliau untuk mendapatkan ilmu pengetahuan
untuk menyediakan diri bertarung dalam bidang keusahawanan yang penuh ranjau.
Ilmu
tanpa peribadi yang tinggi umpama lagu yang tidak berirama, ia harus seiring.
Inilah resepi yang diterapkan dalam hidup Dato' Kamarudin bin Meranun. Beliau
amat meminati bidang keusahawanan dan perniagaan. Beliau memastikan usaha yang
berterusan bagi mencapai apa yang dihajatinya. Ciri-ciri yang ada pada beliau
yang menjadikan beliau luar biasa adalah semangat kerja berpasukan. Ini dapat
dilihat, kunci kejayaan Air Asia adalah kerana semangat berpasukan beliau dan
Datuk Seri Anthony Fernandes, mereka saling melengkapi antara satu sama lain
untuk membentuk Air Asia. Atas semangat inilah menjadikan Air Asia sebuah
syarikat terkenal di peringkat global. Kerjasama beliau dan kakitangan Air Asia
yang sama-sama memahami prinsip penjenamaan penerbangan tambang murah dan
dihayati juga antara punca kejayaan.
Dato'
Kamarudin bin Meranun juga seorang yang amat merendah diri, ini selaras dengan
prinsip hidup beliau iaitu mementingkan kekayaan spiritual. Beliau menjadikan
Nabi Muhammad SAW sebagai sumber inspirasi. Hidup sebagai satu amanah menjadi
pedoman dalam menyelusuri bidang yang diceburi. Beliau juga seorang yang mudah
mesra dengan lapisan masyarakat dan sedang diajak berbual walau apa topik
sekali pun. Apa yang paling diingini oleh beliau adalah beliau mahu diingati
sebagai seorang yang memberi impak positif kepada setiap individu yang
ditemuinya.
Pada
peringkat awal karier Dato' Kamarudin bin Meranun, beliau bermula di Arab-Malaysia
Merchant Bank sebagai pengurus portfolio pada tahun 1988 hingga 1993, beliau
menguruskan dana pelaburan institusi dan juga individu. Pada tahun 1994, beliau
telah dilantik sebagai Executive Director Innosabah Capital Management Sdn.
Bhd iaitu anak syarikat Innosabah
Securities Sdn. Bhd. Dato' Kamarudin bin Meranun merupakan pengasas bersama
Tune Group Sdn Bhd pada tahun 2001. Beliau dilantik sebagai Pengarah syarikat
tersebut pada 12 Disember 2001. Kemudiannya, beliau telah dilantik kepada Group
Deputy Chief Executive Officer pada 8 Disember 2005. Di atas kejayaan dan
kecemerlangan beliau dalam menguruskan syarikat tersebut, pada 1 Julai 2012
beliau dilantik sebagai Non-Executive Director of Air Asia Berhad. Selain itu
beliau juga merupakan Pengerusi bagi Employee Share Option Scheme Committee of
the Board. Kerana pengalaman yang dimiliki oleh beliau, beliau juga pernah
dilantik sebagai Pengarah Malaysia Airline System Bhd daripada Ogos 2011 hingga
April 2012. Selain daripada industri
penerbangan, beliau juga Co-Chairman dalam Caterham Group iaitu syarikat yang
terlibat dalam perlumbaan Formula 1. Bukan hanya perlumbaan kereta, malah
bidang sukan yang paling diminati di mukabumi ini juga diceburi oleh beliau.
Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengarah kelab bolasepak Queens Park
Rangers Football & Athletic Club Limited. Melihat kepada deretan jawatan
yang dipegang oleh beliau, dapat digambarkan betapa berpengaruh beliau dalam
industri yang diceburi.
Banyak
kejayaan yang telah ditempuhi oleh beliau. Sejak awal pembabitan karier beliau
lagi. Bakatnya sejak awal lagi dikenalpasti dengan penerimaan anugerah
"Best Actuarial Student" oleh
Life Insurance Institute of Malaysia pada tahun 1983. Kejayaan demi kejayaan
yang dikecapi oleh beliau bukan dengan cara yang mudah. Banyak pengorbanan yang
telah dilakukan oleh beliau tidak kira dari segi masa dan kewangan. Selayaknya
beliau digelarkan antara taikun perniagaan dalam Malaysia malah luar negara.
Pada masa kini, beliau pula menjadi sumber inspirasi para usahawan baru di
Malaysia. Semoga lahir lebih ramai tokoh-tokoh usahawan seperti beliau bagi
memakmurkan ekonomi bumi Malaysia.
Sumber :
http://investing.businessweek.com
http://www.forbes.com
http://www.airasia.com
Sumber :
http://investing.businessweek.com
http://www.forbes.com
http://www.airasia.com